Jawapan Yang Kukuh untuk Permulaan yang Baik!
Apa itu makanan pelengkap?
Makanan pelengkap adalah makanan tambahan yang diberikan kepada bayi anda selain daripada pemberian susu ibu. Pada umur enam bulan, pemberian susu ibu sahaja tidak mencukupi. Ia perlu dilengkapkan dengan pemberian makanan pepejal). Pertambahan makanan pepejal dengan meningkatkan tekstur dan kepekatan makanan tersebut dapat membantu bayi anda memperolehi nutrien yang penting bagi pertumbuhan dan perkembangannya. Kelewatan dalam memperkenalkan makanan pepejal melebihi 6 bulan akan meningkatkan risiko anemia dan gangguan pertumbuhan.
Bermula daripada umur 6 bulan atau lebih, urat saraf dan otot mulut bayi sudah berkembang secukupnya bagi membantu mengunyah dan mengigit makanan. Sistem penghadaman dan pencernaan bayi sudah matang untuk menghadam pelbagai jenis makanan. Walau bagaimanapun susu ibu masih perlu diberi dan menjadi sebahagian daripada pemakanan bayi anda.
Mengapa pemberian solid food tidak harus dimulakan sebelum 6 bulan?
Sistem penghadaman bayi belum cukup matang.
- Boleh menyebabkan sakit perut, angin dan sembelit.
- Risiko terhadap alahan makanan lebih tinggi.
Bekalan zat besi bayi mungkin terjejas. Adalah lebih baik memberi bayi susu ibu pada 6 bulan pertama kerana susu ibu mengandungi bahan istimewa yang membantu menyerap zat besi dengan lebih baik. kekurangan zat besi menyebabkan anemia. Ibu yang tidak dapat menyusu secara eksklusif atau sepenuhnya boleh memberi bayi susu formula yang diperkaya dengan zat besi.
kemungkinan risiko kegemukan meningkat pada kemudian hari. Pemberian makanan yang terlalu awal menyebabkan pengambilan makanan berlebihan dan seterusnya meningkatkan lemak badan dan berat badan di peringkat kanak-kanak nanti.